Friday, June 11, 2010

Nikotin namanya.

Tangannya menggenggam erat kotak merah kecil. Dia mengheret tubuh lesunya yang dibaluti sehelai tuala ke bilik mandi.
Tuala beralih ke rel besi di dinding. Tanpa memandang ke cermin di hadapannya, dia membuka kotak merah tadi. Enam. Masih ada enam lagi selain isi yang ditangannya. Dia melabuhkan punggung di atas tandas duduk.
Yang dilihat mata hanya satu tubuh yang terbakar, hakikatnya ada dua jasad yang sedang mati perlahan dalam definisi sendiri tanpa mengikut hukum relatif. Dia menyedut segala rasa yang ada dalam-dalam. Kepalanya mula melayang ke daerah nikotin. Ringan.
Dia membiarkan dirinya lepas begitu. Mata yang pejam terbuka memandang dua jari yang mengepit sebatang tubuh yang fiziknya terbakar, sedangkan sebenarnya ia sedang membakar tubuhnya yang lesu. Dia memeluk dirinya sendiri.
Dia rasa kosong. Apakah erti kewujudan dirinya seperti sebatang puntung nikotin itu juga? Selepas habis, dibuang terus, langsung tak diingati? Dihisap habis rasanya dan tinggal kosong?
Lama pula hayat puntung jahanam ini, fikirnya. Dia mengeluh, mulutnya serasa kelat tembakau, jemarinya dilonglai sengaja, terlepas jatuh ke bawah.
Mungkin beginilah cara dia meninggalkan aku, membuang aku terus dari hidupnya, dia bermonolog sendiri.
Lantas dihalakan air membasahi rongga oral dan serata ubun dan tubuhnya agar tidak lagi kebakar.