Fizi sikat rambut depan cermin. Rambut ikalnya sudah sedikit
panjang, sudah menutup parut kecil di dahi kanannya. Nanti, dia akan minta
Along potongkan. Dia senyum. Baru tadi, dia dengar suara Along memberi salam.
Fizi senyum. Dia tak sabar mahu menunjukkan kertas soalan hari ini. Dia mahu
Along menyemak jawapan yang ditanda.
Along di bilik. Along duduk di hujung katil bercadar merah
jambu. Tudung Along biru, padan dengan baju kurung kapas berbunga biru kecil. Seperti
biasa, Along renung lama-lama gambar di dalam frem kayu miliknya. Along senyum
nipis.
Fizi tolak daun pintu perlahan, cuba mengejutkan Along. Tapi
sebaik sahaja Fizi masuk ke dalam bilik itu, Along mengalih pandang ke pintu
dan tersenyum. Along terbalikkan frem gambar dan letak di atas katil. Fizi
menggaru kepala, tersipu.
Di tangannya sebuah buku soalan.
‘Ada apa sayang?’ lembut suara Along. Fizi suka tengok Along
senyum. Bila Along senyum, ada semacam lesung pipit di sebelah kanan mulutnya.
Fizi menghulurkan kertas soalan Bahasa Inggeris pada Along. Hidungnya kembang
kempis menunggu reaksi Along.
Along senyum lagi.
‘Sayang adik!’ Along tersenyum, tangannya masih memegang
buku soalan. Fizi ikut tersenyum. Cuma senyumnya lebih lebar. Mata Along
bergerak-gerak meneliti jawapan yang ditanda Fizi. Bibirnya terkumat-kamit,
tetapi senyum tak lekang.
‘Along, aku nak 5A UPSR ni.’ Fizi bersungguh. ‘Kalau aku
dapat 5A, aku nak pergi sekolah sukan, aku nak main bola. Boleh kan Along?’
soalnya.
‘Boleh… Kalau adik dapat 5A nanti, Along belikan hadiah.’
Along masih tersenyum. Fizi masih terkulat-kulat di depan Along, sengihnya ke
telinga.
‘Along nak bagi aku apa?’ dia bertanya, tidak sabar. Dia
pasti dia akan mendapat 5A. Setiap kali Along memeriksa jawapan yang ditanda di
kertas soalan, Along pasti senyum.
‘Itu rahsia lah!’ Along tersenyum. Dia mahu mendesak Along
untuk memberitahu tentang hadiahnya, tetapi Along memotong cakapnya.
‘Adik pergi tunjuk kat mak, Along nak solat sekejap. Dah
solat?’ Along menghulurkan kertas soalan kepada Fizi.
‘Dah. Aku dah solat dengan mak tadi.’ Fizi tersenyum. Sejak
dulu lagi, Along selalu mengingatkannya supaya solat. Azizan dan Azam pun Along
suruh solat. Dulu, Azam selalu ponteng solat, tapi Along tahu bila Azam bohong.
Satu hari, Along panggil Azam masuk bilik. Lama Azam dalam
bilik Along. Masa tu, Fizi baru 7 tahun, Azam pula tingkatan 1. Tapi Fizi ingat
sangat sebab, hari tu, Azam menangis lama. Bila dia keluar, Azam minta maaf
dekat ayah dan mak, dengan Angah, Azizan dan peluk Fizi.
Selepas itu, Azam tak pernah tinggal solat. Tak pernah
bohong.
Sekarang, Azam ada di Indonesia, Azam nak jadi doktor.
Azizan pula belajar di Jepun, ambil kursus kejuruteraan. Angah dah kahwin, dia
tinggal di Singapura. Bila Angah balik raya, Angah bawa balik anak-anaknya
Amran dan Aira.
Along jadi pensyarah. Kata mak, Along pandai, sebab tu Along
jadi pensyarah. Fizi pun rasa Along pandai. Along selalu ajar Fizi. Dulu,
Azizan dan Azam pun Along ajar. Sebab tu la Azizan dan Azam jadi pandai macam
Along. Fizi pun mesti jadi pandai sebab Along yang ajar. Fizi terlena malam itu
dengan senyuman yang membawa kepada mimpi indah dia menjadi pemain bola negara.
‘Sampai bila kita nak biarkan dia macam tu? Kita patut buat
sesuatu.’ Fizi cari mak, nak minta izin main bola, tapi dia dengar suara ayah.
Fizi tunggu sekejap. Mungkin ayah dah nak habis cakap. Fizi tunggu di luar
pintu bilik ayah dan mak. Tunggu sampai ayah dan mak habis bercakap.
‘Bukannya kita tak sayangkan dia bang. Lagipun, saya tengok
dia okay je.’ Suara mak nyaring. Fizi tak faham apa yang mak cakap. Siapa yang
okay?
‘Nampak je okay, kalau kita betul-betul sayangkan dia, kita
patut biar dia betul-betul bahagia.’ Suara ayah ketat, menahan perasaan. Fizi makin
tidak faham. Ayah nak biar siapa bahagia? Fizi bahagia. Along pun bahagia. Mak
dan ayah tak bahagia ke?
‘Awak faham apa maksud saya. Along dah lama meninggal...
tapi…’ Fizi tolak daun pintu. Dia mahu penjelasan. Kenapa ayah kata Along dah
meninggal?
Tiba-tiba, ada tangan tarik lengannya. Along. Bila pula
Along balik kerja?
Mata Along merah. Fizi tak pernah nampak muka Along macam
hari ini. Along meletakkan jari telunjuk di bibirnya, menyuruh Fizi diam. Fizi
terkejut, bukan sebab mata Along merah, bukan sebab muka Along, tapi sebab
Along pegang lengan Fizi. Selama ini, Along tak pernah pegang Fizi.
‘Along, kenapa ayah dan mak cakap macam tu?’ Fizi bertanya.
Along diam.
‘Along, ayah dan mak cakap pasal siapa?’ Fizi bertanya.
Along diam.
‘Kenapa ayah cakap Along dah mati?’ Fizi bertanya. Along
diam.
Along bawa Fizi keluar. Along diam tak cakap apa-apa. Tapi,
air mata Along tak berhenti mengalir. Fizi peluk bola. Fizi tak suka tengok
Along menangis. Along bawa Fizi ke hujung kampung. Pertama kali Along bawa Fizi
ke sini, Azizan dapat tawaran pergi Jepun. Masa Azam bertolak ke Indonesia pun,
Along bawa Fizi ke sini. Tapi hari ini, Fizi rasa takut.
Bukan sebab Fizi takut tempat itu, tapi sebab Along lain
sangat. Sebab ayah cakap Along dah meninggal. Kalau Along dah meninggal, yang
dengan Fizi ini siapa? Yang belikan bola Adidas yang dipeluknya ini siapa? Yang
mengaji setiap hari selepas Maghrib itu siapa? Fizi keliru.
‘Fizi.’ Along panggil nama Fizi. ‘Fizi tahu tak, kenapa kita
selalu datang sini?’ air mata Along jatuh lagi.
Fizi rasa makin takut. Petang sudah lewat. Angin bertiup perlahan,
Fizi bau wangi tiba-tiba. Bunga kemboja gugur dan jatuh dekat Fizi. Fizi rasa
mahu menangis. Dia peluk bola kuning itu erat-erat.
‘Fizi, ingat Along?’ Along bertanya tapi soalan itu macam
mengarut. ‘Fizi ingat tak, mula-mula Fizi jumpa Along?’ Fizi pandang muka
Along. Along nampak manis bertudung ungu. Tapi, Along tak senyum.
‘Fizi, ingat tak Along?’ soal Along lagi. ‘Fizi ingat tak
abang long?’
Fizi mula sesak nafas. Dia mula nampak seorang lelaki
berambut ikal. Lelaki itu ketawa. Dia nampak lelaki itu cium Along. Along pegang tangan lelaki itu, Along senyum
bahagia sangat.
Fizi pegang stering kereta. Pusing-pusing. Fizi ingat bunyi
kuat.
‘Awak, saya sayang
awak. Tolong jaga diri, dan tolong saya jaga keluarga saya.’
‘Fizi ingat. Fizi ingat…’ Fizi menangis. Bola kuning-ungu yang
dipeluknya tadi jatuh, bergolek ke dalam pagar tempat batu-batu nisan banyak.