Monday, May 16, 2011

Bukan cerita cinta biasa

Petang sudah datang. Dia menunggu pari-pari bertandang. Sekejap lagi, kalau tiada, harus ditunggu esok pula. Ini bukan sebarang peri. Bukan peri biasa yang berdress putih, bersayap suci. Peri ini pakai jeans biru, mukanya berminyak penat.

Mungkin bukan layak peri bagi orang-orang biasa yang tidak pernah nampak hatinya. Tapi, bagi dia peri itu peri yang peri dalam sebenar-benar erti.

Pertama kali.

Dia baru pulang kerja. Cuma bertuala di laman rumah bila sang peri menyusur di tepian. Perutnya yang sedikit boroi tanpa silu dikendong tanpa bersalah.

Wajah peri kusam oleh penat. Berminyak. Jalannya sedikit lain gaya, mungkin haus oleh perih dan jauh perjalanan. Pertama kali itu juga lewat petang, saat burung bergegas pulang ke sarang. Peri jalan seorang. Cuma seorang meminggir lalu di laluan binatang laju yang bulat tayarnya.

Dan saat dia masih asyik merenung lenggok jalan si peri, seekor kucing kecil mahu melintas jalan. Dan saat itu, seorang perempuan bermuka minyak menjadi seorang pari-pari. Menyelamatkan nyawa yang tiada siapa peduli.

Dari jauh, dia ternampak bayang-bayang si pari-pari. Kereta, motor bersimpang-siur, agak sukar mahu merenung ke dalam matanya.

Kali ini dia berpakaian lengkap. Hajatnya mahu mencuri sekurang-kurangnya satu senyuman ataupun paling tidak berkongsi lirikan.

Matanya berkalih seketika, dan tiba-tiba juga kereta yang banyak berhenti. Suara riuh rendah.

Ada orang disimbah asid di tepi jalan.

5 comments:

  1. betul2 ada di tempat kejadian ke?

    ReplyDelete
  2. peja, ni cerita je la. saya paranoid sebab kena jalan kaki balik kerja. haha!

    Cooleustary, benda nak jadi kan..

    ReplyDelete
  3. bukan cerita cinta biasa,
    cerita cinta luar biasa.

    ReplyDelete

Who are you?